Monday, 11 May 2009

sapa Hafiz Firdaus Abdullah nie...

iyela.. kite petik2 artikel dia tapi tak tau sapa orangnyer pun tak besh ler jugak kan... panjang lebar kawan nie cter pasal Hafiz Firdaus ni...

respek gak lah kat mamat pilot nih... macam mana dia sempat nak tulis ngan ngaji ekk.. tulah kata org, kalau tak nak berjuta dalih boleh kasik.. heh tak main la juta-juta nih.. billion and trilion dalih... hehehe..sendiri mau ingat la kawan...

HAFIZ FIRDAUS - JURUTERBANG DI LANDASAN AGAMA
oleh : Maizura Mohd Ederis

(Ihsan daripada majalah Milenia Muslim edisi Mei 2006)

Sesat! Gila Isim! Ini antara tuduhan yang pernah dilemparkan kepadanya. Malah ada yang menulis surat aduan kepada Jakim. Bagi sesetengah orang, kehadirannya di platform agama hanya untuk mengganggu 'wilayah' para agamawan. Pun, semua itu tidak dipedulikannya. Atas niat ingin mengubah pemikiran umat Islam di Malaysia, Hafiz Firdaus Abdullah tetap menulis dan menyampaikan ceramah agama. Membawa tagline 'bukan siapa yang berkata tetapi apa yang dikatakan’, beliau kini menghasilkan 24 judul buku, menyunting 17 judul oleh pengarang lain dan memberi ceramah setiap bulan.

Siapakah Hafiz Firdaus Abdullah? Dia bukan lah seorang agamawan, jauh sekali untuk memiliki ijazah panjang berjela dalam bidang keagamaan. Dia seorang pilot, berusia 35 tahun dan sangat rajin membaca. Sebelum ini, saya mengenalinya hanya melalui laman web www.al-firdaus.com yang mengupas isu-isu agama. Hanya pada Mac lalu saya sempat berkunjung ke rumahnya di Shah Alam, Selangor.

"Ini lah perpustakaan saya," katanya mempelawa saya masuk ke sebuah bilik seluas dua bilik tidur utama rumah teres. Deretan buku yang disusun kemas memenuhi segenap ruang dinding - dari lantai ke siling! Kira-kira 70 peratus daripada koleksi buku dalam perpustakaan itu adalah hadis dan diantaranya termasuk dalam kategori ‘rare’ atau ‘endangered spesies’ seperti Musnat alBazzar, Musannaf Ibn Abi Syaibah dan Sunan Said Bin Mansur.

Sebaik duduk di kerusi, saya terus bertanya tentang konsep yang agak asing bagi masyarakat Malaysia - bukan siapa yang berkata tetapi apa yang dikatakan. Apa benar orang Malaysia kurang bijak kerana lebih memandang kepada 'orang' yang berkata, bukan 'apa' yang diperkatakan? "Orang Malaysia memang bijak. Sebagai contoh, golongan profesional seperti doktor tidak memandang nama penulis sesebuah buku tetapi fakta dan maklumat yang terdapat dalam buku itu. Hanya dalam bidang agama, mereka lihat kepada 'siapa' yang menulis, bukan 'apa' yang ditulis. Dalam urusan dunia, orang kita boleh membuat analisa dan mengkaji sesuatu fakta. Tapi dalam urusan akhirat, mereka tidak mahu mengkaji, sebaliknya jadi pak turut sahaja."

Kenyataannya memang benar kerana sudah menjadi kebiasaan masyarakat mempelajari ilmu agama daripada mereka yang bergelar ustaz dan ustazah sahaja. Kredibiliti ustaz dan ustazah pula dinilai berdasarkan berapa banyak ijazah yang ada, berapa besar serban yang dipakai, sejauh mana populariti dan setinggi mana jawatan dalam institusi keagamaan.

Kebiasaan ini tidak bertepatan dengan ajaran Islam sebenar. Pada era kegemilangan Islam,tokoh yang gigih mengembangkan Islam adalah di kalangan mereka yang dalam profesyen bukan-agama. Ibnu Sina seorang doktor, Ibnu Khaldun seorang ahli sejarah, Ibnu Tufail seorang ahli falsafah, Ibnu Batuta seorang ahli pelayaran dan lain-lain lagi.

Sahabat karib Brother Hafiz, Tuan Hasan Tuan Lah berkata, pembabitan seorang pilot sepertinya dalam bidang agama bukan sesuatu yang menghairankan kerana kebanyakan Mursyid Ikhwan Muslimoon pun bukan dari golongan agamawan. Pemimpin Ikhwan Lebanon, Ustaz Fathy Yakan misalnya, seorang jurutera. Syaikh Sayyid Qutb yang berkelulusan sastera dan bekas Nazir sekolah di Mesir telah menghasilkan Tafsir Fi Dzilal yang menakjubkan itu. Tuan Hasan turut memetik nama-nama seperti Syaikh Mustafa Masyhur seorang ahli Kaji Cuaca, Syaikh Hasan al-Hudhaibi seorang peguam dan Imam Albani seorang pembaiki jam. Justeru, kenapa di Malaysia wujud satu jurang yang besar antara profesional dalam bidang agama dengan profesional dalam bidang lain?

"Ini berpunca daripada fenomena sekularisme dalam bentuk baru," jawab Hafiz Firdaus. “Jika sekularisme yang lama memisahkan urusan agama dengan kehidupan harian, sekularisme yang baru memisahkan golongan agamawan dengan bukan-agamawan. Pendapat mengenai agama hanya dipegang oleh agamawan. Orang agama juga tidak masuk ke bidang lain. Orang dalam bidang lain pula tidak boleh masuk ke wilayah orang agama. Ini adalah Islam Sekular."

Bagaimanapun, menurutnya, sejak akhir-akhir ini terdapat tanda-tanda yang positif ke arah merapatkan jurang antara bidang agama dengan bidang lain. Sebagai contoh, Muhammad Amin Yaakob yang bertugas dalam bidang perbankan telah menulis buku Christianity through the lens of Christians & Muslim Scholar.

Hasil penulisan dan ceramah Brother Hafiz juga sudah mula mendapat perhatian masyarakat terutama di kalangan intelektual dan pelajar universiti. Mengenai golongan yang mengkritiknya, Brother Hafiz yakin kritikan mereka tidak berasas dan hanya didorong oleh rasa terganggu apabila ada orang lain menceroboh 'wilayah' mereka. Mujur Jakim tidak melayan surat aduan mengenainya kerana kelemahan hujah si pengadu. "Mereka memarahi saya dengan kata-kata yang buruk dan penuh emosi. Tidak ada hujah yang rasional. Jadi saya abaikan. Malah saya berasa kasihan pula kepada mereka," katanya merujuk kepada e-mel yang diterima daripada golongan yang tidak menyenanginya.

Apa pun, kritikan yang penuh emosi dan tidak berasas itu lah yang membakar semangatnya untuk terus menulis dan memberi ceramah secara percuma. "Saya tak ambil bayaran. Ini pelaburan akhirat. Kepuasan saya adalah apabila orang dapat kongsi ilmu dengan orang lain. Perkara yang baik perlu disebar dan dikongsi."

Mengimbas pembabitannya dalam bidang agama, segalanya bermula pada usia 22 tahun. Sebagai anak jati Kuala Lumpur, pada usia itu beliau sudah pun puas menikmati keseronokan dunia. "Saya mula bawa kapalterbang pada usia 19. Besar di KL, saya dah rasa macam-macam. Letih dengan semua itu. Saya mula mencari sesuatu yang baru. Itu lah masanya saya berfikir untuk menjadi lebih matang dan serius dengan hidup ini."

Memandangkan kerjaya sebagai juruterbang tidak memberi masa yang banyak untuk berguru, Brother Hafiz mula membaca buku-buku agama yang bersifat ilmiah. Antara bacaan awal yang memberi pengaruh kepadanya ialah buku bertajuk Bagaimana Berinteraksi Dengan Sunnah tulisan Shaikh Yusuf al-Qardawi.

Beliau mengenepikan pendapat masyhur, berguru dengan buku umpama berguru dengan syaitan. "Memang ramai yang kata begitu. Saya pulangkan balik pertanyaan kepada mereka, adakah dengan mempunyai guru bermakna menuntut ilmu dengan malaikat?" Larangan menuntut ilmu agama melalui buku kerana bimbang disesatkan oleh syaitan adalah mitos semata-mata, bukannya fakta. Ia satu kepercayaan masyhur yang diwarisi oleh masyarakat Islam secara turun temurun. Sebenarnya, yang menentukan sesat atau tidak, betul atau salah, bukan lah guru tetapi dalil dan hujah.

"Dalil dan hujah boleh datang daripada pelbagai sumber seperti televisyen, radio, suratkhabar dan sebagainya. Jangan batas kepada guru sahaja. Jika dalam bidang lain, kita boleh ambil daripada banyak sumber kenapa dalam bidang agama kita hadkan pada satu sumber sahaja?"

Berdasarkan pengalamannya dengan para ustaz tempatan, tidak ramai yang mampu menjawab persoalannya dengan hujah dan dalil yang memuaskan. Tidak kurang juga yang meluahkan ungkapan biasa, "ikut saja lah." Sebagai contoh, pengalaman berada di banyak negara luar menemukan beliau dengan pelbagai amalan agama yang berbeza di kalangan umat Islam. Jawapan biasa yang diterimanya, "Itu mazhab mereka. Jangan hiraukan." Tidak kurang juga yang berkata, "Jangan cerita benda yang boleh pecah belahkan umat Islam." Bagi Brother Hafiz, itu satu pendapat yang sangat jumud. Berdasarkan kajian dan pembacaannya, umat Islam dari satu-satu mazhab perlu berinteraksi dengan mazhab lain agar dapat mewujudkan toleransi terhadap pendapat yang berbeza antara imam-imam agung itu.

Kajian selama dua tahun kemudiannya mendorong beliau menulis buku bertajuk Pedoman-Pedoman Bermazhab Dalam Islam, diterbitkan pada tahun 2000. Buku ini adalah bukunya yang paling laris, dicetak sebanyak dua kali dalam jumlah 2,000 naskah. Contoh lain, juruterbang sepertinya sering mengalami masalah dalam melakukan solat jama' dan qasar semasa penerbangan. Tidak puas hati dengan penerangan ustaz, beliau terpaksa membuat penyelidikan sendiri, membaca dan menganalisa sehingga akhirnya terhasil buku bertajuk Panduan Ibadah Dalam Musafir Penerbangan. Buku pertama yang diterbitkannya adalah Zikir-Zikir Selepas Solat Fardhu (sebagaimana yang dilakukan dan diajarkan oleh Rasulullah SAW) pada tahun 1999.

Bagi mempertajamkan penanya, Brother Hafiz membaca kira-kira 10 buku dalam sebulan. Di peringkat awal, antara dugaan dalam membaca ialah tidak mendapat galakan daripada kawan-kawan yang bimbang dia akan tersesat. Antara yang diingatnya ialah semasa menunaikan haji di Mekah. "Saya dikritik oleh rakan sebilik kerana asyik membaca. Mereka takut saya sesat kerana terlalu banyak membaca. Sedangkan mereka mengisi masa lapang mereka dengan hanya berbual kosong."

Dugaan dalam menulis pula, katanya, ialah kesukaran untuk memenangi hati penerbit. "Mereka tidak mahu terbit buku saya kerana latarbelakang saya bukan sebagai agamawan. Biografi saya zero." Jodoh Brother Hafiz akhirnya dengan penerbit Jahabersa yang tidak memandang kepada siapa dirinya tetapi fakta yang terdapat dalam penulisannya. Melihat koleksi bukunya yang cenderung kepada hadis, Brother Hafiz mengakui minatnya adalah lebih kepada hadis kerana bidang ini sangat kurang mendapat perhatian di Malaysia.

"Pengahayatan masyarakat terhadap hadis masih di tahap rendah. Semasa kecil dulu kita diajar membaca Al-Quran tetapi tidak pula diajar hadis." Minat ini mendorong beliau menghasilkan trilogi hadis bertajuk 20 Hujah Golongan Anti Hadis dan Jawapannya, Kaedah Memahami Hadis-Hadis Yang Saling Bercanggah dan Kaedah Memahami Hadis-Hadis Musykil. Selain itu, beliau juga cenderung untuk menyanggah golongan syiah dengan menulis buku bertajuk Jawapan Ahl al-Sunnah kepada Syi'ah al-Rafidhah dalam Persoalan Khalifah. Buku ini ditulis dalam tiga siri, diterbitkan pada tahun 2004 dan 2005. Tidak seperti golongan anti-hadis yang sudah mulai berkurangan di Malaysia, golongan Syi'ah pula semakin meningkat terutama di universiti tempatan. Justeru, sebagai umat Islam, beliau berasa bertanggungjawab untuk membendung fahaman ini daripada terus menular.

Menyentuh mengenai anggapan seseorang boleh menjadi gila Isim kerana terlalu banyak membaca dan mengkaji, Brother Hafiz menegaskan bahawa gila isim bukan sahaja terdapat dalam bidang agama tetapi dalam bidang-bidang lain. "Seseorang boleh jadi gila isim jika terlalu banyak mengkaji dan berfikir tanpa menyeimbangkan dengan aktiviti harian seperti berkeluarga, bekerjaya, beriadah, bersosial dan sebagainya. Tuduhan saya gila isim tidak benar kerana saya ada keluarga. Selain membaca dan mengkaji, saya juga bawa kapalterbang."

Juruterbang Malaysia Airlines (MAS) ini mendirikan rumahtangga dengan bekas kakitangan MAS, Mariyati Mat Nasir dan dikurniakan sepasang cahaya mata, Siti Nur Khatijah, 9, dan Umar Firdaus, 8.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa menuntut ilmu melalui pembacaan tidak akan menyebabkan seseorang jadi sesat atau gila isim selagi seseorang itu berniat ikhlas untuk mencari kebenaran. Sekiranya seseorang itu ikhlas, Allah SWT akan membantunya seperti mana yang difirmankan-Nya dalam Surah Al-Ankabut, ayat 69, bermaksud, ""Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik."

Dugaan lain bagi Brother Hafiz ialah kesukaran mendapatkan orang untuk membantunya membuat suntingan, proof reading, memberi pendapat dan sokongan. Pada peringkat awal, beliau juga terpaksa mempelajari cara menggunakan perisian Microsoft Words. Setelah sembilan tahun aktif dalam bidang penulisan, tirai tahun ini dibuka dengan buku terbaru bertajuk Wahai Ibu! Wahai Ayah! Buat masa ini, Brother Hafiz belum merancang untuk menulis buku lain tetapi sudah menerima tanggungjawab untuk menyunting lima buah buku terbitan Jahabersa.

Dalam bidang ceramah pula, beliau mengakui lebih selesa berhadapan dengan pelajar universiti berbanding mereka yang di surau atau masjid. "Pelajar universiti benar-benar hendak belajar. Mereka ambil nota dan tanya soalan. Tapi orang di surau atau masjid hanya mendengar ceramah bagi mengisi masa lapang antara waktu solat."

Sebagai penulis, beliau tidak menetapkan sasaran jumlah buku yang akan ditulis tetapi berazam akan menulis seberapa banyak yang boleh demi kepentingan ummah. Falsafah hidupnya bersandarkan kepada hadis bermaksud, "Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanafaat kepada manusia lain" (Daraquthni).

"Saya cuba untuk menepati hadis tersebut," katanya yang kesal melihat sikap bangsa Melayu yang enggan berkongsi ilmu atau kepakaran secara percuma dengan orang lain. Ini sangat berbeza dengan sikap masyarakat Cina - samada Islam atau tidak - yang tidak lokek berkongsi ilmu, kemewahan atau apa sahaja yang dimiliki.

ALIRAN PEMIKIRAN UMAT ISLAM MALAYSIA

Wawancara kami berpindah dari hal peribadi kepada persoalan umat Islam di Malaysia. Beliau sependapat dengan saya bahawa tradisi intelektual masih kurang di kalangan umat Islam di sini. Amalan menuntut ilmu agama juga sangat statik.

"Ramai yang rasa sudah memadai dengan hanya mempelajari agama semasa di sekolah dahulu. Ini tidak betul. Mereka perlu terus belajar, bersifat terbuka, membuat analisa dan berani mempertahankan ajaran yang benar."

Situasi kini masih ramai umat Islam yang tidak kenal Islam secara keseluruhan tetapi hanya mengenali sebahagian kecil atau sesuatu aspek sahaja. Sebagai contoh, semasa fenomena Tsunami melanda Asia, orang Islam menggembar-gemburkan tentang masjid di Acheh yang tidak musnah sedangkan Hard Rock Cafe di Phuket yang juga berdiri kukuh langsung tidak diperkatakan. Semua orang mengaitkan masjid itu dengan 'keagungan' Islam tetapi tidak ada seorang pun yang bercakap tentang kekukuhan struktur bangunannya yang memungkinkan ia tidak musnah.

Pada pandangan Brother Hafiz, ini membuktikan bahawa umat Islam hanya 'gembira' dan 'teruja' dengan Islam apabila berlaku perkara-perkara yang luar biasa pada pandangan mereka. Padahal, sekiranya umat Islam menghayati Islam secara keseluruhan, pasti mereka akan 'gembira' dan 'teruja' sepanjang masa tanpa perlu menunggu perkara-perkara luar atau mengada-adakan perkara supaya nampak luar biasa untuk mengaitkannya dengan keagungan Islam.

Bagaimanapun, menurutnya ada perkembangan baik sejak akhir-akhir ini apabila masyarakat mula berfikir secara sihat dan pandai berhujah berdasarkan fakta. Cuma apa yang dibimbangkan ialah kemunculan sekelumpuk orang Islam yang terlebih fikir sehingga sanggup mentafsirkan Islam berdasarkan akal sendiri, tanpa merujuk kepada Al-Quran dan Al-Hadis. Golongan yang dilabel sebagai Islam Liberal ini sama bahaya dengan aliran Syiah yang sedang berkembang pesat di Malaysia sekarang. Islam Liberal, menurut Brother Hafiz adalah mirip Islam Sekular cuma pendekatannya sahaja yang berbeza.

Selain itu, katanya terdapat juga aliran Hizb Tahrir yang berasal dari Syria. "Konsep gerakan ini ialah menegakkan khalifah iaitu pemimpin Islam. Mereka masuk melalui universiti dan sekarang ini meluas di Timur Tengah, Indonesia dan Filipina."

Ketiga-tiga aliran ini - Islam Liberal, Hizb Tahrir dan Syiah - adalah tidak bersandarkan kepada dalil yang sah. Sementara itu, mengenai Wahabi, Brother Hafiz menegaskan ia bukan lah satu aliran pemikiran tetapi lebih kepada satu gelaran yang dicipta oleh orang-orang yang tidak bersetuju dengan gerakan tajdid yang dibawa oleh Shaikh Muhammad Abdul Wahab di Semenanjung Arab. Di Malaysia, katanya, Wahabi lebih merujuk kepada amalan atau ajaran yang berdasarkan dalil dalam Al-Quran dan Sunnah tetapi berbeza dengan kebiasaan masyarakat.

Mengakhiri wawancara, Brother Hafiz berharap agar umat Islam di negara ini dapat membuat anjakan paradigma dalam menghayati agama Islam sebenar dan maju bersama-sama dengan Islam.

"Islam sebenar bukan lah Islam sekular yang meninggalkan agama atau Islam sekular baru yang memisahkan agamawan dengan bukan-agamawan atau Islam Liberal yang 'menelanjangkan' Islam. Maaf saya menggunakan perkataan yang agak keras," katanya merujuk kepada perkataan 'telanjang' untuk Islam Liberal.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Juruterbang MAS – Menulis kerana Tanggungjawab

Oleh Zulina Hassan (Majalah i edisi Feb 2006)



Saya bertemu personaliti ini di celah-celah kesibukan beliau mengejar waktu. Katanya, sehari sebelum kami bertemu, beliau baru kembali dari Jakarta. Manakala petang hari itu pula, beliau akan berangkat ke Hong Kong.

Sebenarnya bukanlah kesibukan beliau sebagai juruterbang airbus MAS yang ingin saya nyatakan di sini. Di samping menjadi juruterbang, beliau memikul satu tanggungjawab lain yang tidak kurang besarnya kepada masyarakat iaitu sebagai penulis. Tanggungjawab itu dilunaskan di celah-celah jadual penerbangannya yang agak ketat terutama ketika berlangsungnya musim perayaan dan musim cuti sekolah. Demikianlah, beliau melakukan dua kerja serentak tanpa mengenal penat dan jemu.

Hafiz Firdaus Abdullah adalah nama yang tidak asing bagi golongan agamawan dan pelajar-pelajar IPT yang bergiat cergas dalam aktiviti keagamaan. Tidak sekadar menulis buku yang bercorak keagamaan, beliau juga kerap dijemput memberi kuliah di universiti dan kolej-kolej atas jemputan persatuan-persatuan pelajar. Kebanyakan daripada mereka mengenali Hafiz melalui buku-buku tulisan beliau.



Serius Menulis

Anak jati Kuala Lumpur ini mula serius dalam bidang penulisan sewaktu berusia 28 tahun. Semuanya bermula dari minat membaca, kemudian didesak oleh rasa tanggungjawab untuk berkongsi dan menyebarkan ilmu kepada masyarakat. Bermula pada tahun 1999, sehingga kini beliau telah menghasilkan sebanyak 21 judul buku. Antaranya termasuk Pedoman Bermazhab Dalam Islam, Kaedah Memahami Hadis-Hadis yang Saling Bercanggah, Kaedah Memahami Hadis-Hadis Musykil, 20 Hujah Antihadis dan Jawapannya serta Panduan Ibadah Musafir Penerbangan yang kesemuanya diterbitkan oleh syarikat penerbitan Jahabersa Sdn Bhd.

Jika dilihat kepada judul-judul buku yang ditulisnya, ternyata Hafiz lebih cenderung menulis berkaitan dengan masyarakat dan perkara-perkara berkaitan pemahaman terhadap hadis. Menurut beliau, ini adalah kerana penghayatan masyarakat Malaysia terhadap hadis masih berada di tahap yang minimum.

“Di Malaysia memang ada pengajian mengenai hadis. Tetapi dari segi pemahaman dan penghayatannya, masih terlalu cetek. Misalnya, masih ada di kalangan penceramah dan penulis-penulis ruangan agama di media yang mencampur-adukkan segala hadis yang ada tanpa mementingkan sanadnya, sama ada sahih, hasan, dan sebagainya,” ujar beliau.

Tanpa mengikuti pengajian formal di mana-mana sekolah agama atau institusi pengajian tinggi, Hafiz masih berupaya mendalami pelbagai cabang ilmu agama. Benar seperti kata pepatah – ‘kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya’. Beliau peroleh semua itu melalui usaha yang tak kenal jemu. Selain mengikuti pelbagai bentuk kuliah agama, pada masa yang sama beliau begitu tekun mengkaji kitab-kitab muktabar yang sarat dengan ilmu, yang ditulis oleh tokoh-tokoh ilmuwan Islam zaman silam dan juga semasa.



Hati yang Ikhlas

Mungkin ramai yang beranggapan, bukannya mudah untuk mengkaji kitab-kitab muktabar itu seorang diri tanpa dipandu oleh guru. Tetapi bagi Hafiz, beliau yakin setiap orang boleh melakukannya jika dipandu oleh hati yang ikhlas dan mengharap petunjuk daripada Allah SWT.

“Siapa saja yang ingin mendalami agama, dia pasti boleh melakukannya asalkan niatnya ikhlas. Jangan sekali-kali mendalami agama untuk tujuan lain seperti mendapat gelaran, sanjungan dan sebagainya, sebaliknya mestilah dengan niat untuk beramal dan berkongsi ilmu itu dengan orang lain. Insya-Allah kita akan dibantu oleh Allah. Ini adalah lebih baik daripada orang yang berguru, tapi tersalah pilih guru,” ujar beliau.

Bagi memaksimumkan kebolehannya membaca kitab-kitab agama, Hafiz berusaha mempelajari bahasa Arab melalui guru-guru agama dan rakan-rakannya yang mahir berbahasa Arab. Walaupun tidak fasih bertutur dalam bahasa tersebut, namun penguasaan bahasa Arab yang ada membolehkannya membaca kitab-kitab Arab dengan baik.

“Sebenarnya kita boleh lakukan jika kita benar-benar ingin melakukan sesuatu perkara itu. Lebih-lebih lagi bagi golongan dalam bidang profesional yang memang sudah terbukti mereka ini bijak pandai. Jika mereka boleh belajar sehingga ke tahap tertinggi dalam bidang masing-masing, sudah tentu mereka juga boleh belajar dalam bidang agama yang hakikatnya lebih mudah untuk dipelajari. Jangan ‘bodohkan diri’ dalam bidang agama, sebaliknya mesti yakin dan ikhlas agar kita boleh menghayati agama dengan cara yang benar,” tambah Hafiz sambil menekankan agar golongan profesional yang takut kepada agama mengubah persepsi tersebut.

Bagi memastikan keseluruhan isi kandungan bukunya tepat tanpa terselit pandangan-pandangan yang mengelirukan, Hafiz sentiasa memastikan hadis-hadis yang dikemukakan disemak terlebih dahulu.

“Sebelum menulis mengenai sesuatu topik, saya akan mengkaji dan membuat rujukan mengenai perkara itu secara terperinci. Hujah-hujah atau dalil-dalil yang hendak dikemukakan mestilah dari pendapat yang benar, bukannya pendapat yang memasyhurkan kita. Pandangan-pandangan, hujah-hujah dan dalil-dalil itu saya kumpulkan dan saya tulis semula dalam format baru yang sesuai dan mudah difahami oleh masyarakat kita,” ujar Hafiz mengenai falsafahnya dalam menulis.



Manfaat Kerjaya Sebagai Juruterbang

Setengah orang berpendapat, kerjaya sebagai juruterbang amat menyeronokkan kerana berpeluang untuk melawat destinasi-destinasi menarik di seluruh dunia secara percuma. Tetapi bagi Hafiz yang lebih 15 tahun bergelanggang dalam kerjaya tersebut, tiada apa yang menarik kerana setiap kali mendarat di sesuatu bandar itu, keadaannya tetap sama seperti pertama kali beliau tiba di situ.

“Kali pertama saya pergi ke sesuatu destinasi tu, biasanya saya akan berjalan-jalan untuk melihat suasana di tempat tersebut. Tapi kali kedua pergi ke sana, dah tak ada apa-apa yang menarik lagi bagi saya. Jadi saya lebih suka berkurung dalam bilik hotel dengan ditemani notebook dan buku-buku rujukan,” katanya.

Walaupun demikian, selain mengkaji dan menyiapkan penulisannya, ada kalanya Hafiz keluar untuk pergi ke kedai-kedai buku. Itulah antara hobinya apabila berada di luar negara. Buku-buku rujukan kini sudah memenuhi ruang di rumahnya sehingga memaksa beliau mengubah suai rumah untuk tujuan menyediakan ruang yang lebih besar untuk perpustakaan.

Hafiz juga bertuah kerana pengalaman melihat negara orang membolehkan beliau melihat kepelbagaian umat Islam itu sendiri dan ini amat berguna untuk kerjaya beliau sebagai penulis.

“Dengan melihat kepelbagaian umat Islam, saya dapat melihat adanya toleransi dalam berbagai-bagai perbezaan pendapat. Kita tidak lagi rasa kita saja yang betul, sebaliknya fikiran menjadi lebih terbuka. Saya cuba kaji apa pegangan dan dalil yang menjadi hujah mereka. Inilah antara sebabnya saya menulis buku Pedoman Bermazhab Dalam Islam. Saya dedahkan perbezaan pendapat dan bagaimana untuk kita berinteraksi dengan perbezaan pendapat itu,” ujar Hafiz yang yakin bahawa dengan mengajar umat Islam etika berbeza pendapat dapat membantu mengekalkan perpaduan.



Terus Menulis

Menurut Hafiz, beliau akan terus menulis selagi mana dia berupaya menyumbangkan kebolehannya itu untuk kepentingan masyarakat umum. Bersama syarikat Jaharbersa, sebenarnya Hafiz bukan saja menyumbangkan manuskrip, sebaliknya turut membuat editing, proof reading serta atur huruf dan reka letak sendiri. Kerana itu, untuk memastikan isi bukunya menepati kehendak masyarakat, Hafiz akan meminta isterinya membaca terlebih dahulu. Selain itu, beliau juga merujuk kepada rakan-rakan yang hampir dengannya.

Hafiz juga memastikan buku-bukunya tidak melebihi 200 muka surat, agar tidak terlalu tebal untuk dibaca oleh masyarakat umum. Walaupun demikian, beliau tetap mengemukakan perbincangan yang mendalam dengan disertakan nota kaki. Selain itu, beliau juga tidak mengambil sebarang royalti dari syarikat penerbit agar harga buku dapat dikurangkan serendah mungkin. Niat beliau hanya satu – untuk berdakwah atas rasa tanggungjawab.

Hafiz juga membina laman webnya sendiri yang boleh dilayari di www.al-firdaus.com. Selain menulis untuk buku, beliau memuatkan artikel-artikel pendek yang ditulisnya ke dalam laman web tersebut.

Laman web itu juga menyediakan ruang untuk pembaca-pembaca buku beliau memberi pandangan atau teguran. Dengan cara itulah Hafiz menganalisa semula buku-bukunya untuk memastikan mesej yang ingin disampaikan tepat dan boleh diterima oleh masyarakat.



Tetap Utamakan Keluarga

Hasil perkahwinan dengan Mariyati Mat Nasir yang suatu masa dulu adalah pekerja di pejabat MAS, Hafiz dikurniakan seorang puteri, Siti Nur Khatijah, 9, dan seorang putera, Umar Firdaus, 8.

Di celah-celah kesibukannya sebagai juruterbang dan penulis, keluarga tetap menjadi keutamaan kepada Hafiz. Walaupun jarang-jarang berkesempatan membawa keluarganya melancong ke luar negara, namun semasa berada dalam negara, Hafiz akan sentiasa membawa keluarganya setiap kali beliau memberi kuliah atau menghadiri sebarang program. Ini kerana Hafiz kerap dipanggil untuk memberi pandangan dalam mesyuarat beberapa pertubuhan agama walaupun beliau sendiri tidak terlibat secara langsung dengan pertubuhan tersebut.

Hafiz bersyukur kerana isteri dan anak-anak amat memahami tugas beliau. Kini, hampir kesemua urusan rumah tangga dijalankan oleh isteri beliau. Bahkan Mariyati turut membantu Hafiz dalam penulisan dengan cara membaca manuskrip yang telah siap. Dengan cara itu, Hafiz dapat tahu sama ada masyarakat umum memahami mesej yang hendak disampaikan atau tidak.

No comments:

Post a Comment