Saturday, 11 July 2009

still about rejab

masih lagi dalam bulan rejab.. boleh lah nak dikira hujung rejab.. nak kongsi lagi cerita menarik dalam bulan rejab nih.. dan rasanya masih belum terlewat lagi...
baru jer baca kat laman al-azim, pejabat mufti melaka..

meh ler, sama2 kita ambil pengajaran dan pengertian..

Amalan bulan rejab..


Tiada amalan khusus untuk bulan Rejab yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW yang dijumpai di dalam mana-mana hadis shahih. Penulis berpendapat ada hikmahnya kenapa Allah SWT, Rasulullah SAW dan para sahabat RA tidak memberitahu tarikh dan tahun berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj. Rasulullah SAW tidak mahu umatnya menetapkan ibadat-ibadat tertentu di bulan Rejab khasnya pada hari dan malam berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj itu.

Ini untuk mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang diada-adakan (bid'ah) dan perbuatan membeza-bezakan kemuliaan satu-satu bulan. Namun begitu ada pendapat yang meriwayatkan tentang amalan-amalan sunat tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah Rejab. Pendapat ini adalah bersandar kepada hadis-hadis lemah.

Terlalu banyak amalan-amalan sunat yang umum yang masih kita belum berkesempatan untuk mengamalkannya boleh kita praktikkan di bulan Rejab ini sebagai persediaan kita menjelang Ramadhan al-Mubarak. Diantaranya solat malam, qiamul-lail, puasa Isnin dan Khamis, tadarrus al-Qur'an dan lain-lain lagi.

..tapi yg banyak berlaku sebaliknyer kan... dok sibuk nak buat sesuatu tu sbb bulan rejab atau bulan2 tertentu jer... amalan yg baik ialah apa jua yg kita buat.. yg baikler.. kene konsisten... bukannyer jap buat.. jap tinggal.. pas tu buat giler2.. pas tu tinggal lagi.. pegi haji, pegi umrah..sembahyang 24jam.. pastu balik dr tanah suci.. masih lagi pi gossip kat cafe kat golf club.. masih lagi pi dangdut..

sambung lagi sket.. dari sumber yg sama, pejabat mufti melaka...

1.Hijrah Pertama

Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) Pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.

Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman RA dan istrinya Roqiah anak Rasulullah SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.

2. Isra' dan Mi'raj

Isra'dan Mi'raj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmuqaddis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT.

Dalam menentukan tarikh bila berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama mengatakan pada 27 RabiulAkhir; sebahagian ulama mengatakan pada 17 RabiulAwal; sebahagian ulama mengatakan 29 Ramadhan; sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama yang lain mengatakan pada tanggal-tanggal selain dari yang tersebut.

Menurut Chalil, 1999 sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, ada setengah ulama mengatakan pada malam tanggal 7 RabiulAwal. Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab, sekalipun tidak dengan alasan yang kuat.

Tahun berlakunya juga terdapat perselisihan pendapat ulama, ada sebahagian yang mengatakan pada tahun ke 5 dari Bi'tsah (tahun mula diutusnya peribadi Nabi), sebahagiannya berpendapat pada tahun ke 12 dari Bi'tsah; sebahagiannya berpendapat pada tahun sebelum Nabi hijrah ke Thaif, sebahagian berpendapat pada tahun ketiga sebelum hijrah Nabi S.A.W ke Madinah dan ada yang sebahagiannya pula berpendapat lain dari semuanya itu.

Bagaimanapun seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad telah mencatatkan dalam kitabnya "At-Tobaqatil Qubra", bahawa berlaku israk mikraj terhadap Nabi s.a.w. ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi S.A.W. hijrah ke Madinah dalam satu peristiwa yang amat bersejarah itu.(Tazkirah, Pusat Zakat N. Sembilan)

3. Perang Tabuk

Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran

4. Pembebasan Baitul-Muqaddis

Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan uamat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

5. Lahirnya Imam Syafie RH.

Nama sebenar Imam Syafie RH ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah. Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Diantara peninggalan imam Syafie RH yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm.


.. panjang pulak posting nih.. takperlah.. tak larat nak baca sekali wrap.. boleh sambung a bit later.....

selamat...

Friday, 26 June 2009

rejab yang mulia...

bulan rejab tiba lagi, sya'ban menunggu hari, ramadan bakal menjelma, syawal pasti akan tiba...
macam-macam fadhilat dalam bulan rejab ni kan.. tapi dalam banyak2 fadhilat tu kita kene tengok jugak mana yg benar dan mana pulak yg tokok tambah jer (fadhilat yg bunyinyer too good to be true...)
zaman internet mmg banyak maklumat kita boleh dapat depat mata.. tapi kesahihan atau kebenarannyer banyak jugak yang disangsikan.. so, dengan kebijaksanaan kita jugak kita perlu nilai dan kaji kebenaran sesuatu fadhilat yg dinyatakan.. nak mudah.. carik tok guru...!!!!!!!!!!!

artikel nie di petik dari site Dr Asri, bekas mufti besar Perlis berkaitan fadhilat bulan rejab... baca dan hayati isi kandungannya dan renung2kanlah...

Hadis Palsu Rejab, Syaaban
Disiarkan pada Jun 23, 2009 dalam kategori Ibadat


Artikel ini merupakan Himpunan penulisan Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin yang terdahulu dicadangkan untuk bacaan bersempena bulan Rejab.
Agama wajib dipelihara ketulenannya supaya tidak berlaku campur aduk antara rekaan manusia dan perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika agama boleh direka cipta, maka wahyu sudah tentu tidak diperlukan, juga Rasul tidak perlu diutuskan. Oleh itu Islam mengharamkan pembohongan di atas nama agama.
Dalam persoalan hadis, ramai kalangan kita yang begitu tidak berdisiplin dalam memetik hadis-hadis Nabi s.a.w., begitu juga dalam menghuraikannya. Sebahagiannya langsung tidak mengambil berat persoalan kethabitan iaitu kepastian di atas ketulenan sesebuah hadis.
Apa sahaja yang dikatakan hadis terus sahaja dibacakan kepada masyarakat tanpa meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) para ulama hadis terhadap kedudukannya.
Lebih malang ada yang menyangka apa sahaja yang dikatakan hadis maka pastinya sahih dan wajib diimani.
Dengan itu apa sahaja yang mereka temui daripada buku bacaan, yang dikatakan hadis maka mereka terus sandarkan kepada Nabi s.a.w. tanpa usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh baginda Nabi s.a.w. dalam hadis yang mutawatir: “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain).
“Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).
Berbohong menggunakan nama Nabi s.a.w. adalah satu jenayah yang dianggap sangat berat di dalam Islam. Perbohongan atau berdusta menggunakan Nabi s.a.w. adalah menyandar sesuatu perkataan, atau perbuatan, atau pengakuan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, yang mana baginda tidak ada kaitan dengannya.
Ini seperti menyebut Nabi s.a.w. bersabda sesuatu yang baginda tidak pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang baginda tidak pernah melakukannya.
Maka sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi s.a.w. sama ada perkataan, atau perbuatan atau pengakuan, maka ia disebut sebagai al-hadis.
Namun menyandar sesuatu kepada Nabi s.a.w. secara dusta, bukanlah hadis pada hakikatnya. Cuma ia disebut hadis berdasar apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan al-Maudu’, atau al-Mukhtalaq iaitu palsu, atau rekaan. Maka hadis palsu ialah: “Hadis yang disandarkan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, ia tidak ada hubungan dengan Nabi s.a.w.” (lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi ‘Ulum al-Hadis, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu‘asarah, Beirut).
Perbuatan ini adalah jenayah memalsu ciptakan agama, kerana Nabi adalah sumber pengambilan agama. Seperti seseorang yang memalsukan pasport di atas nama sesebuah kerajaan. Ia sebenarnya melakukan pembohongan dan jenayah terhadap kerajaan tersebut.
Kedudukan Nabi s.a.w. tentunya lebih besar dan agung untuk dibandingkan. Oleh itu dalam riwayat yang lain Nabi s.a.w. menyebut: “Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) dalam mengulas hadis ini: “Ia merangkumi setiap pendusta ke atas Nabi s.a.w. dan semua jenis pendustaan ke atas baginda.”

Mendengar

Maksudnya: “Jangan kamu sandarkan pendustaan ke atasku (menggunakan namaku)” (rujukan: Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, jld 1, m.s. 270, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut).
Bukan sahaja membuat hadis palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ia adalah hadis palsu juga adalah sesuatu yang haram.
Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H): “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ia hadis palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya.” (Ibn al-Salah,‘Ulum al-Hadis, m.s. 98)
Misalnya di tanah air kita, didapati apabila munculnya bulan Rejab dan Syaaban maka hadis-hadis palsu mengenai bulan-bulan tersebut akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya hadis: “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku.”
Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha‘if, m.s. 95, cetakan: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah, Halab, Syria). Nama penuh Ibn Jahdam ialah Ali bin Abdillah bin Jahdam al-Zahid.
Ibn Jahdam meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada Jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-‘Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut).
Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut: Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi).
Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka.
Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. Alhamdulillah. (Ibn al-Salah, ‘Ulum al-Hadis, m.s. 99)
Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa pula, ada menjadi ejen menyebarkan hadis-hadis palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut.
Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H): Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w.
Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu).
Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).
Sebenarnya hadis sahih mengenai kebaikan malam Nisfu Syaaban itu memang ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu.

Hadis yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Syaaban ialah: “Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).
Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. (jilid 3, m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma‘arf, Riyadh).
Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan khas tertentu pada malam tersebut bukan dari ajaran Nabi s.a.w.
Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.”
Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid.
Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ia satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan sunah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya.


Ibadat


Perhimpunan (malam Nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.
Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidaah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidaah, dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, fatawa Mu‘asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).
Inilah kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang sederhana dan dihormati.
Namun dalam masalah ini beliau agak tegas kerana ia bercanggah dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
Justeru, hadis-hadis palsu mengenai Rejab dan Syaaban ini hendaklah dihentikan dari disebarkan ke dalam masyarakat. Kita perlu kembali kepada agama yang tulen.
Hasil dari memudah-mudahkan dalam hal seperti ini maka muncullah golongan agama yang suka mendakwa perkara yang bukan-bukan.
Dengan menggunakan nama agama segala rekaan baru dibuat untuk kepentingan diri dan kumpulan. Islam tidak pernah memberi kuasa kepada golongan agama, atau sesiapa sahaja untuk mendakwa apa yang dia suka kemudian menyandarkannya kepada agama.
Agama kita rujukannya ialah al-Quran dan al-sunah yang dipastikan kesabitannya mengikut yang diputuskan oleh para ulama hadis. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadis al-Azhar): “Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadis, sama ada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai teks hadis).”
Mereka hanya membaca hadis apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui kedudukan hadis tersebut.
Apa yang mereka pentingkan hanyalah reda orang ramai. Lalu mereka menyebut perkara yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam tiada kaitan dengannya.
Mereka ini sepatutnya dihalang dari berceramah, memberi nasihat dan bertazkirah. (Abu Syahbah, al-Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis, m.s. 322, cetakan: Dar al-Fikr al-‘Arabi, Kaherah).

Saya menyeru diri sendiri, para penceramah, ustaz-ustaz, media elektronik dan cetak, bahkan semua pihak yang membaca sesuatu hadis memastikan kesahihannya dahulu. Semoga Rejab dan Syaaban tahun ini tidak dibaluti dengan pembohongan terhadap Nabi s.a.w.

Tuesday, 2 June 2009

BGT 2009 winner... DiVeRsitY

hahaha... aku da kata dah.. dan aku jugak da rasa... diversity akan menang and i was right they are the winner.. BGT 2009. step a side susan boyle and flawless, not even in the top three...
come on and watch they performed on the final...



enjoy..!!
they are takin' home GBP100,000.00 and will perform for British Royal family where the date will confirmed later. well done guys.
syahmie & zahin always asked me... can we watch diversity again ayah..!! i have to say later coz i dont want them into music and entertainment too much..
and i know i will let them watch again..!!

Tuesday, 26 May 2009

street dance anyone...?

checked this out fellas...

aku mmg amazed betul bila tgk these people dancing.. the way they dance very energetic and electrifying. this is truly talented people from very different age and background...

this is the clip video for the first audition in April 2009..
very entertaining and so cute..







and this is them in the semis on the 24th May 2009...

Monday, 11 May 2009

sapa Hafiz Firdaus Abdullah nie...

iyela.. kite petik2 artikel dia tapi tak tau sapa orangnyer pun tak besh ler jugak kan... panjang lebar kawan nie cter pasal Hafiz Firdaus ni...

respek gak lah kat mamat pilot nih... macam mana dia sempat nak tulis ngan ngaji ekk.. tulah kata org, kalau tak nak berjuta dalih boleh kasik.. heh tak main la juta-juta nih.. billion and trilion dalih... hehehe..sendiri mau ingat la kawan...

HAFIZ FIRDAUS - JURUTERBANG DI LANDASAN AGAMA
oleh : Maizura Mohd Ederis

(Ihsan daripada majalah Milenia Muslim edisi Mei 2006)

Sesat! Gila Isim! Ini antara tuduhan yang pernah dilemparkan kepadanya. Malah ada yang menulis surat aduan kepada Jakim. Bagi sesetengah orang, kehadirannya di platform agama hanya untuk mengganggu 'wilayah' para agamawan. Pun, semua itu tidak dipedulikannya. Atas niat ingin mengubah pemikiran umat Islam di Malaysia, Hafiz Firdaus Abdullah tetap menulis dan menyampaikan ceramah agama. Membawa tagline 'bukan siapa yang berkata tetapi apa yang dikatakan’, beliau kini menghasilkan 24 judul buku, menyunting 17 judul oleh pengarang lain dan memberi ceramah setiap bulan.

Siapakah Hafiz Firdaus Abdullah? Dia bukan lah seorang agamawan, jauh sekali untuk memiliki ijazah panjang berjela dalam bidang keagamaan. Dia seorang pilot, berusia 35 tahun dan sangat rajin membaca. Sebelum ini, saya mengenalinya hanya melalui laman web www.al-firdaus.com yang mengupas isu-isu agama. Hanya pada Mac lalu saya sempat berkunjung ke rumahnya di Shah Alam, Selangor.

"Ini lah perpustakaan saya," katanya mempelawa saya masuk ke sebuah bilik seluas dua bilik tidur utama rumah teres. Deretan buku yang disusun kemas memenuhi segenap ruang dinding - dari lantai ke siling! Kira-kira 70 peratus daripada koleksi buku dalam perpustakaan itu adalah hadis dan diantaranya termasuk dalam kategori ‘rare’ atau ‘endangered spesies’ seperti Musnat alBazzar, Musannaf Ibn Abi Syaibah dan Sunan Said Bin Mansur.

Sebaik duduk di kerusi, saya terus bertanya tentang konsep yang agak asing bagi masyarakat Malaysia - bukan siapa yang berkata tetapi apa yang dikatakan. Apa benar orang Malaysia kurang bijak kerana lebih memandang kepada 'orang' yang berkata, bukan 'apa' yang diperkatakan? "Orang Malaysia memang bijak. Sebagai contoh, golongan profesional seperti doktor tidak memandang nama penulis sesebuah buku tetapi fakta dan maklumat yang terdapat dalam buku itu. Hanya dalam bidang agama, mereka lihat kepada 'siapa' yang menulis, bukan 'apa' yang ditulis. Dalam urusan dunia, orang kita boleh membuat analisa dan mengkaji sesuatu fakta. Tapi dalam urusan akhirat, mereka tidak mahu mengkaji, sebaliknya jadi pak turut sahaja."

Kenyataannya memang benar kerana sudah menjadi kebiasaan masyarakat mempelajari ilmu agama daripada mereka yang bergelar ustaz dan ustazah sahaja. Kredibiliti ustaz dan ustazah pula dinilai berdasarkan berapa banyak ijazah yang ada, berapa besar serban yang dipakai, sejauh mana populariti dan setinggi mana jawatan dalam institusi keagamaan.

Kebiasaan ini tidak bertepatan dengan ajaran Islam sebenar. Pada era kegemilangan Islam,tokoh yang gigih mengembangkan Islam adalah di kalangan mereka yang dalam profesyen bukan-agama. Ibnu Sina seorang doktor, Ibnu Khaldun seorang ahli sejarah, Ibnu Tufail seorang ahli falsafah, Ibnu Batuta seorang ahli pelayaran dan lain-lain lagi.

Sahabat karib Brother Hafiz, Tuan Hasan Tuan Lah berkata, pembabitan seorang pilot sepertinya dalam bidang agama bukan sesuatu yang menghairankan kerana kebanyakan Mursyid Ikhwan Muslimoon pun bukan dari golongan agamawan. Pemimpin Ikhwan Lebanon, Ustaz Fathy Yakan misalnya, seorang jurutera. Syaikh Sayyid Qutb yang berkelulusan sastera dan bekas Nazir sekolah di Mesir telah menghasilkan Tafsir Fi Dzilal yang menakjubkan itu. Tuan Hasan turut memetik nama-nama seperti Syaikh Mustafa Masyhur seorang ahli Kaji Cuaca, Syaikh Hasan al-Hudhaibi seorang peguam dan Imam Albani seorang pembaiki jam. Justeru, kenapa di Malaysia wujud satu jurang yang besar antara profesional dalam bidang agama dengan profesional dalam bidang lain?

"Ini berpunca daripada fenomena sekularisme dalam bentuk baru," jawab Hafiz Firdaus. “Jika sekularisme yang lama memisahkan urusan agama dengan kehidupan harian, sekularisme yang baru memisahkan golongan agamawan dengan bukan-agamawan. Pendapat mengenai agama hanya dipegang oleh agamawan. Orang agama juga tidak masuk ke bidang lain. Orang dalam bidang lain pula tidak boleh masuk ke wilayah orang agama. Ini adalah Islam Sekular."

Bagaimanapun, menurutnya, sejak akhir-akhir ini terdapat tanda-tanda yang positif ke arah merapatkan jurang antara bidang agama dengan bidang lain. Sebagai contoh, Muhammad Amin Yaakob yang bertugas dalam bidang perbankan telah menulis buku Christianity through the lens of Christians & Muslim Scholar.

Hasil penulisan dan ceramah Brother Hafiz juga sudah mula mendapat perhatian masyarakat terutama di kalangan intelektual dan pelajar universiti. Mengenai golongan yang mengkritiknya, Brother Hafiz yakin kritikan mereka tidak berasas dan hanya didorong oleh rasa terganggu apabila ada orang lain menceroboh 'wilayah' mereka. Mujur Jakim tidak melayan surat aduan mengenainya kerana kelemahan hujah si pengadu. "Mereka memarahi saya dengan kata-kata yang buruk dan penuh emosi. Tidak ada hujah yang rasional. Jadi saya abaikan. Malah saya berasa kasihan pula kepada mereka," katanya merujuk kepada e-mel yang diterima daripada golongan yang tidak menyenanginya.

Apa pun, kritikan yang penuh emosi dan tidak berasas itu lah yang membakar semangatnya untuk terus menulis dan memberi ceramah secara percuma. "Saya tak ambil bayaran. Ini pelaburan akhirat. Kepuasan saya adalah apabila orang dapat kongsi ilmu dengan orang lain. Perkara yang baik perlu disebar dan dikongsi."

Mengimbas pembabitannya dalam bidang agama, segalanya bermula pada usia 22 tahun. Sebagai anak jati Kuala Lumpur, pada usia itu beliau sudah pun puas menikmati keseronokan dunia. "Saya mula bawa kapalterbang pada usia 19. Besar di KL, saya dah rasa macam-macam. Letih dengan semua itu. Saya mula mencari sesuatu yang baru. Itu lah masanya saya berfikir untuk menjadi lebih matang dan serius dengan hidup ini."

Memandangkan kerjaya sebagai juruterbang tidak memberi masa yang banyak untuk berguru, Brother Hafiz mula membaca buku-buku agama yang bersifat ilmiah. Antara bacaan awal yang memberi pengaruh kepadanya ialah buku bertajuk Bagaimana Berinteraksi Dengan Sunnah tulisan Shaikh Yusuf al-Qardawi.

Beliau mengenepikan pendapat masyhur, berguru dengan buku umpama berguru dengan syaitan. "Memang ramai yang kata begitu. Saya pulangkan balik pertanyaan kepada mereka, adakah dengan mempunyai guru bermakna menuntut ilmu dengan malaikat?" Larangan menuntut ilmu agama melalui buku kerana bimbang disesatkan oleh syaitan adalah mitos semata-mata, bukannya fakta. Ia satu kepercayaan masyhur yang diwarisi oleh masyarakat Islam secara turun temurun. Sebenarnya, yang menentukan sesat atau tidak, betul atau salah, bukan lah guru tetapi dalil dan hujah.

"Dalil dan hujah boleh datang daripada pelbagai sumber seperti televisyen, radio, suratkhabar dan sebagainya. Jangan batas kepada guru sahaja. Jika dalam bidang lain, kita boleh ambil daripada banyak sumber kenapa dalam bidang agama kita hadkan pada satu sumber sahaja?"

Berdasarkan pengalamannya dengan para ustaz tempatan, tidak ramai yang mampu menjawab persoalannya dengan hujah dan dalil yang memuaskan. Tidak kurang juga yang meluahkan ungkapan biasa, "ikut saja lah." Sebagai contoh, pengalaman berada di banyak negara luar menemukan beliau dengan pelbagai amalan agama yang berbeza di kalangan umat Islam. Jawapan biasa yang diterimanya, "Itu mazhab mereka. Jangan hiraukan." Tidak kurang juga yang berkata, "Jangan cerita benda yang boleh pecah belahkan umat Islam." Bagi Brother Hafiz, itu satu pendapat yang sangat jumud. Berdasarkan kajian dan pembacaannya, umat Islam dari satu-satu mazhab perlu berinteraksi dengan mazhab lain agar dapat mewujudkan toleransi terhadap pendapat yang berbeza antara imam-imam agung itu.

Kajian selama dua tahun kemudiannya mendorong beliau menulis buku bertajuk Pedoman-Pedoman Bermazhab Dalam Islam, diterbitkan pada tahun 2000. Buku ini adalah bukunya yang paling laris, dicetak sebanyak dua kali dalam jumlah 2,000 naskah. Contoh lain, juruterbang sepertinya sering mengalami masalah dalam melakukan solat jama' dan qasar semasa penerbangan. Tidak puas hati dengan penerangan ustaz, beliau terpaksa membuat penyelidikan sendiri, membaca dan menganalisa sehingga akhirnya terhasil buku bertajuk Panduan Ibadah Dalam Musafir Penerbangan. Buku pertama yang diterbitkannya adalah Zikir-Zikir Selepas Solat Fardhu (sebagaimana yang dilakukan dan diajarkan oleh Rasulullah SAW) pada tahun 1999.

Bagi mempertajamkan penanya, Brother Hafiz membaca kira-kira 10 buku dalam sebulan. Di peringkat awal, antara dugaan dalam membaca ialah tidak mendapat galakan daripada kawan-kawan yang bimbang dia akan tersesat. Antara yang diingatnya ialah semasa menunaikan haji di Mekah. "Saya dikritik oleh rakan sebilik kerana asyik membaca. Mereka takut saya sesat kerana terlalu banyak membaca. Sedangkan mereka mengisi masa lapang mereka dengan hanya berbual kosong."

Dugaan dalam menulis pula, katanya, ialah kesukaran untuk memenangi hati penerbit. "Mereka tidak mahu terbit buku saya kerana latarbelakang saya bukan sebagai agamawan. Biografi saya zero." Jodoh Brother Hafiz akhirnya dengan penerbit Jahabersa yang tidak memandang kepada siapa dirinya tetapi fakta yang terdapat dalam penulisannya. Melihat koleksi bukunya yang cenderung kepada hadis, Brother Hafiz mengakui minatnya adalah lebih kepada hadis kerana bidang ini sangat kurang mendapat perhatian di Malaysia.

"Pengahayatan masyarakat terhadap hadis masih di tahap rendah. Semasa kecil dulu kita diajar membaca Al-Quran tetapi tidak pula diajar hadis." Minat ini mendorong beliau menghasilkan trilogi hadis bertajuk 20 Hujah Golongan Anti Hadis dan Jawapannya, Kaedah Memahami Hadis-Hadis Yang Saling Bercanggah dan Kaedah Memahami Hadis-Hadis Musykil. Selain itu, beliau juga cenderung untuk menyanggah golongan syiah dengan menulis buku bertajuk Jawapan Ahl al-Sunnah kepada Syi'ah al-Rafidhah dalam Persoalan Khalifah. Buku ini ditulis dalam tiga siri, diterbitkan pada tahun 2004 dan 2005. Tidak seperti golongan anti-hadis yang sudah mulai berkurangan di Malaysia, golongan Syi'ah pula semakin meningkat terutama di universiti tempatan. Justeru, sebagai umat Islam, beliau berasa bertanggungjawab untuk membendung fahaman ini daripada terus menular.

Menyentuh mengenai anggapan seseorang boleh menjadi gila Isim kerana terlalu banyak membaca dan mengkaji, Brother Hafiz menegaskan bahawa gila isim bukan sahaja terdapat dalam bidang agama tetapi dalam bidang-bidang lain. "Seseorang boleh jadi gila isim jika terlalu banyak mengkaji dan berfikir tanpa menyeimbangkan dengan aktiviti harian seperti berkeluarga, bekerjaya, beriadah, bersosial dan sebagainya. Tuduhan saya gila isim tidak benar kerana saya ada keluarga. Selain membaca dan mengkaji, saya juga bawa kapalterbang."

Juruterbang Malaysia Airlines (MAS) ini mendirikan rumahtangga dengan bekas kakitangan MAS, Mariyati Mat Nasir dan dikurniakan sepasang cahaya mata, Siti Nur Khatijah, 9, dan Umar Firdaus, 8.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa menuntut ilmu melalui pembacaan tidak akan menyebabkan seseorang jadi sesat atau gila isim selagi seseorang itu berniat ikhlas untuk mencari kebenaran. Sekiranya seseorang itu ikhlas, Allah SWT akan membantunya seperti mana yang difirmankan-Nya dalam Surah Al-Ankabut, ayat 69, bermaksud, ""Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik."

Dugaan lain bagi Brother Hafiz ialah kesukaran mendapatkan orang untuk membantunya membuat suntingan, proof reading, memberi pendapat dan sokongan. Pada peringkat awal, beliau juga terpaksa mempelajari cara menggunakan perisian Microsoft Words. Setelah sembilan tahun aktif dalam bidang penulisan, tirai tahun ini dibuka dengan buku terbaru bertajuk Wahai Ibu! Wahai Ayah! Buat masa ini, Brother Hafiz belum merancang untuk menulis buku lain tetapi sudah menerima tanggungjawab untuk menyunting lima buah buku terbitan Jahabersa.

Dalam bidang ceramah pula, beliau mengakui lebih selesa berhadapan dengan pelajar universiti berbanding mereka yang di surau atau masjid. "Pelajar universiti benar-benar hendak belajar. Mereka ambil nota dan tanya soalan. Tapi orang di surau atau masjid hanya mendengar ceramah bagi mengisi masa lapang antara waktu solat."

Sebagai penulis, beliau tidak menetapkan sasaran jumlah buku yang akan ditulis tetapi berazam akan menulis seberapa banyak yang boleh demi kepentingan ummah. Falsafah hidupnya bersandarkan kepada hadis bermaksud, "Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanafaat kepada manusia lain" (Daraquthni).

"Saya cuba untuk menepati hadis tersebut," katanya yang kesal melihat sikap bangsa Melayu yang enggan berkongsi ilmu atau kepakaran secara percuma dengan orang lain. Ini sangat berbeza dengan sikap masyarakat Cina - samada Islam atau tidak - yang tidak lokek berkongsi ilmu, kemewahan atau apa sahaja yang dimiliki.

ALIRAN PEMIKIRAN UMAT ISLAM MALAYSIA

Wawancara kami berpindah dari hal peribadi kepada persoalan umat Islam di Malaysia. Beliau sependapat dengan saya bahawa tradisi intelektual masih kurang di kalangan umat Islam di sini. Amalan menuntut ilmu agama juga sangat statik.

"Ramai yang rasa sudah memadai dengan hanya mempelajari agama semasa di sekolah dahulu. Ini tidak betul. Mereka perlu terus belajar, bersifat terbuka, membuat analisa dan berani mempertahankan ajaran yang benar."

Situasi kini masih ramai umat Islam yang tidak kenal Islam secara keseluruhan tetapi hanya mengenali sebahagian kecil atau sesuatu aspek sahaja. Sebagai contoh, semasa fenomena Tsunami melanda Asia, orang Islam menggembar-gemburkan tentang masjid di Acheh yang tidak musnah sedangkan Hard Rock Cafe di Phuket yang juga berdiri kukuh langsung tidak diperkatakan. Semua orang mengaitkan masjid itu dengan 'keagungan' Islam tetapi tidak ada seorang pun yang bercakap tentang kekukuhan struktur bangunannya yang memungkinkan ia tidak musnah.

Pada pandangan Brother Hafiz, ini membuktikan bahawa umat Islam hanya 'gembira' dan 'teruja' dengan Islam apabila berlaku perkara-perkara yang luar biasa pada pandangan mereka. Padahal, sekiranya umat Islam menghayati Islam secara keseluruhan, pasti mereka akan 'gembira' dan 'teruja' sepanjang masa tanpa perlu menunggu perkara-perkara luar atau mengada-adakan perkara supaya nampak luar biasa untuk mengaitkannya dengan keagungan Islam.

Bagaimanapun, menurutnya ada perkembangan baik sejak akhir-akhir ini apabila masyarakat mula berfikir secara sihat dan pandai berhujah berdasarkan fakta. Cuma apa yang dibimbangkan ialah kemunculan sekelumpuk orang Islam yang terlebih fikir sehingga sanggup mentafsirkan Islam berdasarkan akal sendiri, tanpa merujuk kepada Al-Quran dan Al-Hadis. Golongan yang dilabel sebagai Islam Liberal ini sama bahaya dengan aliran Syiah yang sedang berkembang pesat di Malaysia sekarang. Islam Liberal, menurut Brother Hafiz adalah mirip Islam Sekular cuma pendekatannya sahaja yang berbeza.

Selain itu, katanya terdapat juga aliran Hizb Tahrir yang berasal dari Syria. "Konsep gerakan ini ialah menegakkan khalifah iaitu pemimpin Islam. Mereka masuk melalui universiti dan sekarang ini meluas di Timur Tengah, Indonesia dan Filipina."

Ketiga-tiga aliran ini - Islam Liberal, Hizb Tahrir dan Syiah - adalah tidak bersandarkan kepada dalil yang sah. Sementara itu, mengenai Wahabi, Brother Hafiz menegaskan ia bukan lah satu aliran pemikiran tetapi lebih kepada satu gelaran yang dicipta oleh orang-orang yang tidak bersetuju dengan gerakan tajdid yang dibawa oleh Shaikh Muhammad Abdul Wahab di Semenanjung Arab. Di Malaysia, katanya, Wahabi lebih merujuk kepada amalan atau ajaran yang berdasarkan dalil dalam Al-Quran dan Sunnah tetapi berbeza dengan kebiasaan masyarakat.

Mengakhiri wawancara, Brother Hafiz berharap agar umat Islam di negara ini dapat membuat anjakan paradigma dalam menghayati agama Islam sebenar dan maju bersama-sama dengan Islam.

"Islam sebenar bukan lah Islam sekular yang meninggalkan agama atau Islam sekular baru yang memisahkan agamawan dengan bukan-agamawan atau Islam Liberal yang 'menelanjangkan' Islam. Maaf saya menggunakan perkataan yang agak keras," katanya merujuk kepada perkataan 'telanjang' untuk Islam Liberal.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Juruterbang MAS – Menulis kerana Tanggungjawab

Oleh Zulina Hassan (Majalah i edisi Feb 2006)



Saya bertemu personaliti ini di celah-celah kesibukan beliau mengejar waktu. Katanya, sehari sebelum kami bertemu, beliau baru kembali dari Jakarta. Manakala petang hari itu pula, beliau akan berangkat ke Hong Kong.

Sebenarnya bukanlah kesibukan beliau sebagai juruterbang airbus MAS yang ingin saya nyatakan di sini. Di samping menjadi juruterbang, beliau memikul satu tanggungjawab lain yang tidak kurang besarnya kepada masyarakat iaitu sebagai penulis. Tanggungjawab itu dilunaskan di celah-celah jadual penerbangannya yang agak ketat terutama ketika berlangsungnya musim perayaan dan musim cuti sekolah. Demikianlah, beliau melakukan dua kerja serentak tanpa mengenal penat dan jemu.

Hafiz Firdaus Abdullah adalah nama yang tidak asing bagi golongan agamawan dan pelajar-pelajar IPT yang bergiat cergas dalam aktiviti keagamaan. Tidak sekadar menulis buku yang bercorak keagamaan, beliau juga kerap dijemput memberi kuliah di universiti dan kolej-kolej atas jemputan persatuan-persatuan pelajar. Kebanyakan daripada mereka mengenali Hafiz melalui buku-buku tulisan beliau.



Serius Menulis

Anak jati Kuala Lumpur ini mula serius dalam bidang penulisan sewaktu berusia 28 tahun. Semuanya bermula dari minat membaca, kemudian didesak oleh rasa tanggungjawab untuk berkongsi dan menyebarkan ilmu kepada masyarakat. Bermula pada tahun 1999, sehingga kini beliau telah menghasilkan sebanyak 21 judul buku. Antaranya termasuk Pedoman Bermazhab Dalam Islam, Kaedah Memahami Hadis-Hadis yang Saling Bercanggah, Kaedah Memahami Hadis-Hadis Musykil, 20 Hujah Antihadis dan Jawapannya serta Panduan Ibadah Musafir Penerbangan yang kesemuanya diterbitkan oleh syarikat penerbitan Jahabersa Sdn Bhd.

Jika dilihat kepada judul-judul buku yang ditulisnya, ternyata Hafiz lebih cenderung menulis berkaitan dengan masyarakat dan perkara-perkara berkaitan pemahaman terhadap hadis. Menurut beliau, ini adalah kerana penghayatan masyarakat Malaysia terhadap hadis masih berada di tahap yang minimum.

“Di Malaysia memang ada pengajian mengenai hadis. Tetapi dari segi pemahaman dan penghayatannya, masih terlalu cetek. Misalnya, masih ada di kalangan penceramah dan penulis-penulis ruangan agama di media yang mencampur-adukkan segala hadis yang ada tanpa mementingkan sanadnya, sama ada sahih, hasan, dan sebagainya,” ujar beliau.

Tanpa mengikuti pengajian formal di mana-mana sekolah agama atau institusi pengajian tinggi, Hafiz masih berupaya mendalami pelbagai cabang ilmu agama. Benar seperti kata pepatah – ‘kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya’. Beliau peroleh semua itu melalui usaha yang tak kenal jemu. Selain mengikuti pelbagai bentuk kuliah agama, pada masa yang sama beliau begitu tekun mengkaji kitab-kitab muktabar yang sarat dengan ilmu, yang ditulis oleh tokoh-tokoh ilmuwan Islam zaman silam dan juga semasa.



Hati yang Ikhlas

Mungkin ramai yang beranggapan, bukannya mudah untuk mengkaji kitab-kitab muktabar itu seorang diri tanpa dipandu oleh guru. Tetapi bagi Hafiz, beliau yakin setiap orang boleh melakukannya jika dipandu oleh hati yang ikhlas dan mengharap petunjuk daripada Allah SWT.

“Siapa saja yang ingin mendalami agama, dia pasti boleh melakukannya asalkan niatnya ikhlas. Jangan sekali-kali mendalami agama untuk tujuan lain seperti mendapat gelaran, sanjungan dan sebagainya, sebaliknya mestilah dengan niat untuk beramal dan berkongsi ilmu itu dengan orang lain. Insya-Allah kita akan dibantu oleh Allah. Ini adalah lebih baik daripada orang yang berguru, tapi tersalah pilih guru,” ujar beliau.

Bagi memaksimumkan kebolehannya membaca kitab-kitab agama, Hafiz berusaha mempelajari bahasa Arab melalui guru-guru agama dan rakan-rakannya yang mahir berbahasa Arab. Walaupun tidak fasih bertutur dalam bahasa tersebut, namun penguasaan bahasa Arab yang ada membolehkannya membaca kitab-kitab Arab dengan baik.

“Sebenarnya kita boleh lakukan jika kita benar-benar ingin melakukan sesuatu perkara itu. Lebih-lebih lagi bagi golongan dalam bidang profesional yang memang sudah terbukti mereka ini bijak pandai. Jika mereka boleh belajar sehingga ke tahap tertinggi dalam bidang masing-masing, sudah tentu mereka juga boleh belajar dalam bidang agama yang hakikatnya lebih mudah untuk dipelajari. Jangan ‘bodohkan diri’ dalam bidang agama, sebaliknya mesti yakin dan ikhlas agar kita boleh menghayati agama dengan cara yang benar,” tambah Hafiz sambil menekankan agar golongan profesional yang takut kepada agama mengubah persepsi tersebut.

Bagi memastikan keseluruhan isi kandungan bukunya tepat tanpa terselit pandangan-pandangan yang mengelirukan, Hafiz sentiasa memastikan hadis-hadis yang dikemukakan disemak terlebih dahulu.

“Sebelum menulis mengenai sesuatu topik, saya akan mengkaji dan membuat rujukan mengenai perkara itu secara terperinci. Hujah-hujah atau dalil-dalil yang hendak dikemukakan mestilah dari pendapat yang benar, bukannya pendapat yang memasyhurkan kita. Pandangan-pandangan, hujah-hujah dan dalil-dalil itu saya kumpulkan dan saya tulis semula dalam format baru yang sesuai dan mudah difahami oleh masyarakat kita,” ujar Hafiz mengenai falsafahnya dalam menulis.



Manfaat Kerjaya Sebagai Juruterbang

Setengah orang berpendapat, kerjaya sebagai juruterbang amat menyeronokkan kerana berpeluang untuk melawat destinasi-destinasi menarik di seluruh dunia secara percuma. Tetapi bagi Hafiz yang lebih 15 tahun bergelanggang dalam kerjaya tersebut, tiada apa yang menarik kerana setiap kali mendarat di sesuatu bandar itu, keadaannya tetap sama seperti pertama kali beliau tiba di situ.

“Kali pertama saya pergi ke sesuatu destinasi tu, biasanya saya akan berjalan-jalan untuk melihat suasana di tempat tersebut. Tapi kali kedua pergi ke sana, dah tak ada apa-apa yang menarik lagi bagi saya. Jadi saya lebih suka berkurung dalam bilik hotel dengan ditemani notebook dan buku-buku rujukan,” katanya.

Walaupun demikian, selain mengkaji dan menyiapkan penulisannya, ada kalanya Hafiz keluar untuk pergi ke kedai-kedai buku. Itulah antara hobinya apabila berada di luar negara. Buku-buku rujukan kini sudah memenuhi ruang di rumahnya sehingga memaksa beliau mengubah suai rumah untuk tujuan menyediakan ruang yang lebih besar untuk perpustakaan.

Hafiz juga bertuah kerana pengalaman melihat negara orang membolehkan beliau melihat kepelbagaian umat Islam itu sendiri dan ini amat berguna untuk kerjaya beliau sebagai penulis.

“Dengan melihat kepelbagaian umat Islam, saya dapat melihat adanya toleransi dalam berbagai-bagai perbezaan pendapat. Kita tidak lagi rasa kita saja yang betul, sebaliknya fikiran menjadi lebih terbuka. Saya cuba kaji apa pegangan dan dalil yang menjadi hujah mereka. Inilah antara sebabnya saya menulis buku Pedoman Bermazhab Dalam Islam. Saya dedahkan perbezaan pendapat dan bagaimana untuk kita berinteraksi dengan perbezaan pendapat itu,” ujar Hafiz yang yakin bahawa dengan mengajar umat Islam etika berbeza pendapat dapat membantu mengekalkan perpaduan.



Terus Menulis

Menurut Hafiz, beliau akan terus menulis selagi mana dia berupaya menyumbangkan kebolehannya itu untuk kepentingan masyarakat umum. Bersama syarikat Jaharbersa, sebenarnya Hafiz bukan saja menyumbangkan manuskrip, sebaliknya turut membuat editing, proof reading serta atur huruf dan reka letak sendiri. Kerana itu, untuk memastikan isi bukunya menepati kehendak masyarakat, Hafiz akan meminta isterinya membaca terlebih dahulu. Selain itu, beliau juga merujuk kepada rakan-rakan yang hampir dengannya.

Hafiz juga memastikan buku-bukunya tidak melebihi 200 muka surat, agar tidak terlalu tebal untuk dibaca oleh masyarakat umum. Walaupun demikian, beliau tetap mengemukakan perbincangan yang mendalam dengan disertakan nota kaki. Selain itu, beliau juga tidak mengambil sebarang royalti dari syarikat penerbit agar harga buku dapat dikurangkan serendah mungkin. Niat beliau hanya satu – untuk berdakwah atas rasa tanggungjawab.

Hafiz juga membina laman webnya sendiri yang boleh dilayari di www.al-firdaus.com. Selain menulis untuk buku, beliau memuatkan artikel-artikel pendek yang ditulisnya ke dalam laman web tersebut.

Laman web itu juga menyediakan ruang untuk pembaca-pembaca buku beliau memberi pandangan atau teguran. Dengan cara itulah Hafiz menganalisa semula buku-bukunya untuk memastikan mesej yang ingin disampaikan tepat dan boleh diterima oleh masyarakat.



Tetap Utamakan Keluarga

Hasil perkahwinan dengan Mariyati Mat Nasir yang suatu masa dulu adalah pekerja di pejabat MAS, Hafiz dikurniakan seorang puteri, Siti Nur Khatijah, 9, dan seorang putera, Umar Firdaus, 8.

Di celah-celah kesibukannya sebagai juruterbang dan penulis, keluarga tetap menjadi keutamaan kepada Hafiz. Walaupun jarang-jarang berkesempatan membawa keluarganya melancong ke luar negara, namun semasa berada dalam negara, Hafiz akan sentiasa membawa keluarganya setiap kali beliau memberi kuliah atau menghadiri sebarang program. Ini kerana Hafiz kerap dipanggil untuk memberi pandangan dalam mesyuarat beberapa pertubuhan agama walaupun beliau sendiri tidak terlibat secara langsung dengan pertubuhan tersebut.

Hafiz bersyukur kerana isteri dan anak-anak amat memahami tugas beliau. Kini, hampir kesemua urusan rumah tangga dijalankan oleh isteri beliau. Bahkan Mariyati turut membantu Hafiz dalam penulisan dengan cara membaca manuskrip yang telah siap. Dengan cara itu, Hafiz dapat tahu sama ada masyarakat umum memahami mesej yang hendak disampaikan atau tidak.

musykil pasal babi nihhhh...

baru jer terbaca pasal babi tadi nih.. apa yg ada kat petikan kat bawah ni selari lak ngan pendapat sendiri.. bukanlah maknanye nak ambik jalan mudah tapi sememangnya ISLAM itu sendiri adalah agama yg mudah, kenapa lak kita nak menyusah-nyusah. Apa yg ada dalam Quran dah cukup lengkap, sangat lengkap tambah pulak ngan hadis nabi junjungan kita Muhammad SAW yg banyak menjelaskan dan "menterjemahkan" isi Quran. Pak Imam kita pun ramai yg dah tolong permudahkan apa yg ada dalam Quran tu, Imam Syafie, Hambali, Hanafi dsb..

meh baca sama2... kene baca dari awal sampai habih... kalau baca takat pangkal sket then tgh2 sket then terus conclusion nnt tak sampai lak ilmu tu.. terkapai-kapai jerr..

Oleh Hafiz Firdaus Abdullah


Pada akhir bulan March 2005 yang lalu, umat Islam
digemparkan dengan tindakan seorang wanita yang
menjadi khatib dan mengimami solat Jumaat di bandar
New York, Amerika Syarikat. Oleh kerana tindakan
ini adalah sesuatu yang “baru” di sisi umat Islam,
ramai yang menolak tindakan tersebut dan mengkritiknya
secara negatif. Tidak kurang juga dicelah-celah itu,
ada yang merebut peluang daripada tindakan tersebut
demi mengembangkan lagi aliran Islam Liberal yang
menjadi perjuangan mereka.

Lebih kurang pada tempoh yang sama, berlaku juga satu
insiden yang menarik di tanah air. Dua buah kilang
sosej telah diserbu kerana dituduh menggunakan
bahan-bahan daripada khinzir dalam proses
pembuatan sosej. Bertitik tolak daripada serbuan
tersebut, timbul persoalan di kalangan umat Islam tanah air,
apakah hukumnya jika mereka sebelum itu telah termakan
sosej tersebut? Beberapa agamawan tanah air telah
memberi jawapannya: Hendaklah disamak mulut, gigi dan
lidah untuk menyucikannya daripada kesan khinzir yang
terkandung dalam sosej tersebut. Memandangkan hukum
samak terhadap najis khinzir adalah sesuatu yang
“lama” di kalangan umat Islam tanah air, maka tidak
ramai yang mempersoalkan hukum para agamawan tersebut.

Dalam risalah yang serba ringkas ini, penulis ingin
mengajak para pembaca sekalian untuk meninjau semula,
sejauh manakah kebenaran hukum tersebut. Ajakan
penulis bukan kepada mengkritik para agamawan
tersebut, tetapi kepada menganalisa sesuatu yang
sudah sekian lama menjadi kefahaman kita semua.
Tidaklah berlebihan jika dikatakan bahawa majoriti umat Islam
Malaysia memahami khinzir dan anjing sebagai najis
yang berat. Maka apabila sahaja bersentuhan dengan
khinzir, sama ada secara keseluruhannya sebagai seekor
haiwan atau sebahagian-sebahagi an seperti kulit, bulu,
tulang, usus, gigi dan sebagainya, hendaklah disamak
dengan tujuh basuhan air, yang pertama disertai tanah.



DALIL KENAJISAN KHINZIR DAN CARA MENYUCIKANNYA.

Dalil yang digunakan dalam kefahaman ini ialah firman
Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam
apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang
diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan
kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir,
atau daging babi - kerana sesungguhnya ia
adalah najis.” [al-An’aam 6:145]

Jika daging khinzir adalah najis, sudah tentu
keseluruhan badan dan anggota khinzir adalah najis
juga. Ini kerana daging merupakan bahagian yang utama
bagi seekor haiwan sehingga jika ia najis, sudah tentu
selainnya adalah najis.

Cara untuk menyucikan diri daripada khinzir ialah
menyamaknya dengan tujuh basuhan air dengan basuhan
yang pertama disertai dengan tanah. Ini merujuk kepada
cara menyucikan diri daripada sentuhan anjing
berdasarkan hadis yang bermaksud:

“Apabila seekor anjing minum dalam bekas salah seorang
daripada kamu, maka basuhlah ia tujuh kali.” [Shahih
al-Bukhari – hadis no: 172 (Kitab Wudhu, Bab jika
anjing minum daripada bekas air……)]

Jika anjing yang tidak disebut dalam al-Qur’an perlu
disamak dengan tujuh basuhan, sudah tentu khinzir yang
disebut kenajisannya dalam al-Qur’an lebih patut disamak dengan tujuh basuhan juga.

Demikian dalil dan hujah majoriti ahli fiqh berkenaan
hukum kenajisan khinzir dan anjing serta cara
menyucikan diri daripadanya. Merujuk kepada hukum
kenajisan anjing, penulis telah menulis sebuah risalah
khusus tentangnya berjudul “Hukum Kenajisan Anjing:
Satu Penilaian Semula.” Ia boleh dirujuk dalam buku
penulis “Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan
Ummah” (Buku 3) terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2005.
Maka dalam risalah ini, penulis akan memberi tumpuan
kepada meninjau semula hukum kenajisan khinzir dan
perkara-perkara berkaitan dengannya sahaja.
Tinjauan adalah berdasarkan dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah
yang sahih.

Kemungkinan apa yang bakal dikemukakan oleh penulis
dalam risalah ini adalah sesuatu yang baru lagi ganjil
kepada sebahagian pembaca. Diharapkan yang menjadi
ukuran benar atau salah ialah dalil dan hujah, bukan
kebaruan dan keganjilannya.


TINJAUAN # 1: SETIAP SESUATU ADALAH BAIK, HALAL DAN
BERMANFAAT.

Tinjauan dimulakan dengan menjelaskan satu perkara
yang amat asas lagi pokok dalam bab ini, iaitu setiap
sesuatu yang ada di alam ini adalah baik, halal dan
bermanfaat untuk manusia. Maha Suci Allah daripada
mencipta sesuatu yang buruk, rosak, dan sia-sia
sehingga tidak memiliki manfaat untuk manusia. Allah
Subhanahu wa Ta‘ala berfirman,
maksudnya:

Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya. [al-Sajdah 32:07]

Dia-lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang
ada di bumi. [al-Baqarah2:29]

Dan Dia (Allah) memudahkan untuk (faedah dan kegunaan)
kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi,
(sebagai rahmat pemberian) daripada-Nya; sesungguhnya
semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan
kemurahan dan kekuasaan-Nya) bagi kaum yang
memikirkannya dengan teliti. [al-Jatsiyah 45:13]

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah
semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka
berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata):
“Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan
benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka
peliharalah kami dari azab neraka.” [Ali Imran 3:191]

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi
dan dinilai hasan oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan
al-Tirmizi – hadis no: 1726 (Kitab al-Libas, Bab
berkenaan pakaian kulit binatang) Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, maksudnya:

“Yang halal adalah apa yang dihalalkan oleh Allah di
dalam kitabnya dan yang haram adalah apa yang
diharamkan oleh Allah di dalam kitabnya. Dan apa yang
didiamkan oleh Allah maka ia adalah sebuah kelapangan
daripada-Nya.”

Oleh itu setiap sesuatu yang ada di alam ini adalah
baik, halal dan bermanfaat untuk manusia melainkan
wujud dalil yang sahih lagi jelas (qathi’) yang
menerangkan sebaliknya. Demikian juga, untuk ia
menjadi baik, halal dan bermanfaat, tentulah
ianya suci bagi manusia. Maka dengan itu setiap sesuatu yang
ada di alam ini adalah suci melainkan wujud dalil yang
sahih lagi jelas yang menerangkan kenajisannya.

Syaikh Yusuf al-Qaradhawi hafizahullah menjelaskan
dalam kitabnya Fikih Thaharah (edisi terjemahan oleh
Samson Rahman; al-Kautsar, Jakarta, 2004),
ms. 14:

Dari sini lahirlah sebuah kaedah umum yang mengatakan
bahawa asal dari segala sesuatu adalah suci sehingga
kita tahu kenajisannya berdasarkan dalil yang kuat.
Kita tidak boleh menganggapnya menjadi najis kecuali
dengan nas syari‘at yang sabit dan dengan adanya dalil
yang kuat dari kitab Allah atau dari Sunnah Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam. Dalam hal ini tidak ada
pandangan dan pendapat orang-orang tertentu dan
ijtihad para mujtahid. Dan kita yakin bahawa hukum
syari‘at di sini adalah sesuatu yang pasti bersesuaian
dengan fitrah yang lurus dan akal yang sihat. Syaikh
al-Islam Ibn Taimiyyah berkata: “Ketahuilah bahawa
asal dari segala sesuatu yang ada itu – dengan segala
perbezaan bentuk dan sifatnya – adalah halal secara
mutlak bagi anak Adam (manusia) dan suci serta
tidak diharamkan ke atas mereka untuk menyentuh dan
memegangnya.”


TINJAUAN # 2: HUKUM ASAL BAGI KHINZIR.

Khinzir termasuk dalam keumuman ayat-ayat, hadis dan
kaedah yang terbina daripadanya sebagaimana
yang dijelaskan di atas. Oleh itu hukum asal bagi khinzir
adalah baik, halal, suci dan bermanfaat bagi manusia
kecuali dagingnya di mana ia tidak suci dan tidak
halal untuk dimakan. Pengecualian ini adalah
berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang
bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam
apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang
diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan
kalau benda itu bangkai, atau darah yang
mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah
najis.” [al-An’aam 6:145]

Secara terperinci, ayat di atas terbahagi kepada dua bahagian.

· Bahagian Pertama adalah firman-Nya: “Aku tidak
dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku,
sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak
memakannya……” Ini merujuk kepada hukum asal
sebagaimana yang telah disebut sebelum ini, bahawa
segala sesuatu adalah halal dan suci untuk dimakan.

· Bahagian Kedua mengecualikan keumuman Bahagian
Pertama di atas: “……melainkan kalau benda itu bangkai,
atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana
sesungguhnya ia adalah najis.”
Berdasarkan pengecualian ini, dapat diketahui bahawa yang tidak
suci dan tidak halal daripada khinzir hanyalah memakan
dagingnya.

Dengan itu diulangi bahawa khinzir adalah baik, halal,
suci dan bermanfaat bagi manusia kecuali dagingnya
dimana ia adalah tidak suci dan tidak halal untuk
dimakan.


TINJAUAN # 3: MENGANALISA PENDAPAT YANG MENAJISKAN
KESELURUHAN KHINZIR.

Jelas dalam ayat 145 surah al-An’aam di atas bahawa
yang najis hanyalah daging khinzir dan bukan
keseluruhan khinzir. Justeru pendapat yang menajiskan
seluruh khinzir adalah pendapat yang tidak tepat. Ini
kerana seandainya keseluruhan khinzir adalah najis,
pasti Allah dan Rasul-Nya akan menetapkan sedemikian.
Namun apabila Allah hanya mengecualikan daging khinzir
daripada keseluruhan khinzir, bererti Allah
sememangnya mengkehendaki pengecualian tersebut. Tak
perlu manusia bersikap lebih “bijak” daripada Allah
dengan meluaskannya kepada keseluruhan khinzir.


TINJAUAN # 4: MENGANALISA PENDAPAT YANG MEWAJIBKAN
SAMAK APABILA BERSENTUHAN DENGAN
KHINZIR.

Setelah jelas bahawa keseluruhan khinzir adalah suci
kecuali dagingnya, maka apakah hukum bersentuhan
dengan daging khinzir atau perkakas yang pernah
digunakan untuk menyaji daging khinzir? Adakah ia
perlu disamak dengan tujuh basuhan air dengan basuhan
yang pertama disertai tanah atau memadai dengan
basuhan air seperti biasa?

Hadis berikut yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan
dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Abu
Daud – hadis no: 3839 (Kitab pemakanan, Bab makan
dalam perkakas Ahl al-Kitab) menjadi rujukan:

Abi Tsa’labah al-Khusyani radhiallahu 'anh berkata,
saya bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam:
“Sesungguhnya kami bertetangga dengan Ahl
al-Kitab. Mereka biasa memasak daging khinzir di dalam
periuk mereka dan meminum khamar di dalam gelas mereka
(lalu bolehkah kami menggunakan periuk dan gelas tersebut?)”

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjawab:
“Jika kalian dapat menggunakan perkakas yang lain maka
makan dan minumlah dalamnya. Jika kalian tidak dapat
perkakas yang lain maka cucilah ia dengan air kemudian
makan dan minumlah.”

Jawapan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
menunjukkan bahawa perkakas yang bersentuhan dengan
daging khinzir tidak perlu disamak tetapi memadai
dibasuh dengan air sahaja. Berdasarkan hadis di atas
maka pendapat yang mewajibkan samak sebagai metode
penyucian apabila bersentuhan dengan daging khinzir,
atau keseluruhan khinzir, adalah pendapat yang tidak
tepat.


TINJAUAN # 5: KENAPAKAH DAGING KHINZIR DIANGGAP NAJIS?

Ramai orang yang membuat rumusan bahawa daging khinzir
adalah najis kerana ia adalah binatang yang lazimnya
memakan kotoran dan hidup di habitat yang kotor. Oleh
itu memakan daging khinzir akan membawa kesan yang
negatif kepada manusia. Ini adalah pendapat yang
berdasarkan logik yang mudah serta penemuan sains yang
tidak muktamad. Sebab pada realitinya banyak manusia
yang memakan daging khinzir tanpa menghadapi apa-apa
kesan negatif daripadanya. Lalu bagaimanakah hendak
dineracai hakikat ini?

Hal ini sebagaimana pendapat sebahagian orang yang
mengatakan terdapat virus pada air liur anjing
sehingga dengan itu kita diwajibkan samak daripada
jilatannya. Akan tetapi pada realitinya aning lazim
menjilat orang yang memeliharanya sebagai binatang
kesayangan dan kita tidak melihat apa-apa kesan
negatif kepada mereka.

Yang benar istilah najis itu sendiri memiliki banyak
maksud di dalam bahasa Arab. Yang penting bagi kita
ialah menjauhinya, bukan kerana logik atau
penemuan sains tetapi kerana “Kami dengan dan kami taat”
terhadap perintah larangan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Ini kerana perintah larangan Allah adakala memiliki
alasan logik di sebaliknya, adakala memiliki alasan
ilmiah di sebaliknya dan adakala memiliki alasan ujian
bagi orang yang beriman. Bukankah Allah telah
berfirman:

Dia-lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup
(bagi kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan
kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik
amalnya.
[al-Mulk 67:02]

Syaikh Yusuf al-Qaradhawi memperincikan hakikat
ini:

Mungkin ada beberapa orang yang mempersoalkan, kotoran
apa yang terdapat di dalam khinzir? Sebagaimana yang
kami katakan mengenai air liur anjing, maka demikian
juga kami katakan mengenai daging khinzir. Kita
terikat oleh perintah larangan serta beban syari‘at
sama ada kita mengetahui alasannya atau tidak. Ini
merupakan bentuk ujian terhadap keimanan kita semua.
Apakah kita taat kepada Tuhan kita atau kita taat
terhadap akal kita? Sesungguhnya kewajipan kita adalah
mengatakan apa yang diperintahkan kepada kita walaupun
kita tidak mengerti maknanya. Kita mendengar dan kita
taat. Kita meminta ampun kepada-Mu wahai tuhan dan
kepada-Mu kita kembali. [Fikih Thaharah, ms. 28]


TINJAUAN # 6: MENGANALISA PENDAPAT YANG
MENGKATEGORIKAN KHINZIR SEBAGAI NAJIS
BERAT.

Dimaklumi bahawa pendapat yang masyhur mengkategorikan
khinzir dan anjing sebagai najis berat, dikenali juga
sebagai najis mughallazhah (ãÛáÙÉ). Sebenarnya mengkategorikan khinzir dan anjing sebagai najis berat tidak memiliki asas daripada al-Qur’an dan al-Sunnah
yang sahih. Lebih berat, mengkategorikan khinzir dan
anjing secara sedemikian membuatkan umat Islam
memandang mereka sebagai makhluk yang najis, jijik,
hina, buruk dan layak dizalimi. Pandangan atau
sikap seperti ini adalah satu kesalahan besar di dalam
Islam.

Ketahuilah bahawa khinzir dan anjing adalah makhluk
yang dicipta oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala
sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak
itu dari air; maka sebahagian di antara mereka
menjalar atas perutnya, dan sebahagian di antaranya
berjalan dengan dua kaki, dan sebahagian lagi berjalan
dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja yang
Dia kehendaki kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa
atas tiap-tiap sesuatu. [al-Nur 24:45]

Mereka termasuk para makhluk yang sujud kepada Allah:

Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di
langit dan yang ada di bumi, dari makhluk-makhluk yang
bergerak serta malaikat; sedang mereka tidak berlaku
sombong takbur (daripada beribadat dan sujud
kepada-Nya). [al-Nahl 16:49]

Malah mereka juga sentiasa berzikir kepadanya:

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang
ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan
tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan
memuji-Nya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih
mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi
Maha Pengampun. [al-Isra’ 17:44]

Habitat kehidupan khinzir yang kotor pada ukuran
manusia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk
mengkategorikannya sebagai haiwan najis berat kepada
ia pada asalnya adalah ketentuan Allah jua:

Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang
bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang
menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya
dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam
Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan). [Hud 11:06]

Khinzir dan anjing termasuk dalam keumuman makhluk
yang disebut dan dipuji oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala
dalam ayat-ayat-Nya di atas. Maka siapakah manusia
untuk menyelisih ayat-ayat Allah di atas dengan
mengkategorikan makhluk-Nya sebagai haiwan yang najis,
jijik, hina dan dengan pelbagai sifat lain yang buruk?

Semoga Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengampuni kesalahan
kita, amin.


TINJAUAN # 7: HUKUM MEMANFAATKAN KHINZIR SELAIN
DAGINGNYA.

Timbul persoalan selanjutnya, bolehkah kita
memanfaatkan bahagian-bahagian khinzir selain
dagingnya seperti kulit, bulu, gigi, tulang, usus,
otak, enzim dan sebagainya? Adakah ia termasuk dalam
kategori bangkai yang diharamkan dalam ayat 145 surah
al-An’aam?

Persoalan ini dijawab dari dua sudut:

Pertama: Dimanfaatkan bukan untuk tujuan pemakanan.

Perbicaraan ayat 145 surah al-An’aam merujuk kepada
apa yang halal dan apa yang haram untuk dijadikan
makanan. Marilah kita merujuk kembali kepada
ayat tersebut:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam
apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang
diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan
kalau benda itu bangkai, atau darah yang
mengalir,
atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah
najis.” [al-An’aam 6:145]

Oleh itu apa yang tidak dijadikan makanan, maka ia
kembali pada hukum asal di mana segala sesuatu adalah
baik, suci, halal dan bermanfaat kepada manusia. Maka
dengan itu dibolehkan memanfaatkan apa-apa daripada
khinzir yang kegunaannya bukan untuk pemakanan. Secara
lebih terperinci:

· Boleh menggunakan bulu khinzir untuk dibuat
berus.

· Boleh menggunakan keputihan tulangnya (bone white)
untuk membuat pinggan.

· Boleh menggunakan usus atau enzimnya dalam
kegunaan kosmetik dan mandian seperti krim, lipstick, sabun,
ubat gigi dan sebagainya.

· Boleh menggunakan kulit khinzir untuk dibuat beg,
jaket dan kasut dengan syarat ia disamak terlebih
dahulu sebagaimana kulit haiwan-haiwan yang lain. Ini
berdalilkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam yang diriwayatkan oleh Ahmad, al-Tirmizi,
al-Nasa’i dan Ibn Majah yang disahihkan oleh al-Albani
di dalam Shahih al-Jami al-Shagheir – hadis no: 2711:
“Kulit apa saja yang disamak maka ia adalah suci.”

Kedua: Dimanfaatkan untuk tujuan pemakanan.

Jika sesuatu daripada khinzir selain dagingnya ingin
dijadikan sumber makanan, maka setakat ini
penulis belum menemui mana-mana ahli fiqh dan ilmuan Islam
yang membicarakannya secara mendalam. Lebih dari itu
ayat 145 surah al-An’aam telah melarang kita memakan
bangkai. Yang dimaksudkan sebagai bangkai ialah semua
binatang, termasuk khinzir, yang mati tanpa disembelih
seperti mati kerana sakit, tercekik, dipukul, jatuh,
diterkam binatang lain dan sebagainya. Setakat ini
tidak diketahui ada khinzir yang disembelih.

Oleh itu yang menjadi pilihan ialah tidak memanfaatkan
apa-apa yang berasal dari khinzir untuk
tujuan pemakanan.

Seperkara lain yang perlu ditekankan adalah, seseorang
itu tidak perlu memberat-beratkan dirinya untuk
menyelidik sama ada makanan yang ingin diambilnya
mengandungi unsur khinzir atau tidak. Ini kerana
syari‘at Islam tidak memberatkan seseorang melebihi
kemampuannya. Firman Allah, maksudnya:

Dan Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung
sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.
[al-Hajj 22:78]

Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu
kesusahan (kepayahan), tetapi Dia berkehendak
membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak
menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya
kamu bersyukur. [al-Maidah 5:06]

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu
bertanyakan perkara-perkara yang jika diterangkan
kepada kamu akan menyusahkan kamu. [al-Maidah 5:101]

Oleh itu:

· Jika bagi sesuatu makanan tercatit secara jelas
bahawa ia mengandungi unsur khinzir, maka jauhilah
makanan tersebut.

· Jika bagi sesuatu makanan tidak dicatit secara jelas
mengandungi unsur khinzir, maka dibolehkan mengambil
makanan tersebut. Sebagai contoh, ada segelintir orang
yang menjadi fobia melihat makanan yang kandungannya
(ingredients) disenaraikan kod-kod kimia seperti E114,
G45 dan sebagainya. Mereka membuat andaian bahawa ia
adalah sesuatu yang dibuat daripada khinzir. Selagi
mana andaian ini tidak memiliki bukti yang kukuh, maka
ia tidak perlu diberi perhatian. Ini kerana keyakinan
tidak dapat diubah oleh keraguan atau sangkaan.

Jika seseorang itu tanpa disedarinya telah memakan
sesuatu yang mengandungi unsur khinzir, maka adalah
memadai baginya berkumur-kumur seperti biasa. Mulutnya
tidak perlu disamak.


KESIMPULAN.

Sebagaimana yang penulis sebut di permulaan risalah
ini, kemungkinan apa yang dijelaskan di atas berkenaan
hukum khinzir adalah sesuatu yang baru lagi ganjil
kepada sebahagian pembaca. Akan tetapi bezakan bahawa
apa yang penulis jelaskan adalah sesuatu yang berpijak
di atas dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang
sahih. Maka nilailah penjelasan di atas berdasarkan
dalil-dalilnya, bukan kebiasaan yang selama ini dipegang.

Ringkasnya khinzir adalah binatang yang baik, suci,
halal dan bermanfaat bagi manusia. Kita hanya dilarang
daripada memanfaatkannya sebagai sumber pemakanan.
Dagingnya adalah najis yang jika tersentuh, boleh
disucikan dengan basuhan air biasa. Lebih penting,
hendaklah disedari bahawa khinzir dan anjing adalah
dua makhluk Allah. Dengan kesedaran ini, janganlah
kita mengkategorikannya sebagai makhluk yang najis,
jijik, hina dan pelbagai lagi sangkaan yang buruk.

wallahu'alam...

Thursday, 7 May 2009

ayat 1000 dinar

rasanya ramai orang dah amalkan ayat seribu dinar ni...
tapi untuk peringatan diri sendiri dan sapa pun yang singgah baca kat sini..
meh ler kita baca sama-sama dan hayati manfaatnyer yg sangat banyak..

petikan ni diambil dari megasutra nyer website...

AYAT SERIBU DINAR

وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّهُ ۥ مَخۡرَجً۬ا
وَيَرۡزُقۡهُ مِنۡ حَيۡثُ لَا يَحۡتَسِبُ‌ۚ وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُ ۥۤ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَـٰلِغُ أَمۡرِهِۦ‌ۚ قَدۡ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدۡرً۬ا




Maksudnya:



"..Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), (2) Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." (Surah At-Talaq 65:2-3)


Ini ayat seribu dinar namanya, ayat ini diamal oleh seorang hamba yang mendapat hikmat ini dari Nabi Allah Khidhir ketika belayar di laut dengan berkata berkat amal ayat ini hamba itu mendapat kemuliaan dan menjadi raja.

Ayat ini mengandungi seribu faedah jikalau di amalkan tiap-tiap kali lepas sembahyang sebanyak tiga kali, insya’Allah akan beroleh seribu faedah, barang siapa yang beramal ayat ini Allah taala akan mengadakan baginya jalan keluar dari segala kesulitan, Allah ta’ala akan memberi rezeki yang banyak dengan tidak di sangka-sangka dan Allah Ta’ala menyampaikan segala hajatnya, dengan beramal bersungguh-sungguh dan yakin kepada Allah, terlindung segala daripada bala di darat dan di laut.

Jikalau dibaca ayat ini kepada orang yang sedang sakit sebanyak 3 kali dan dihembuskan kepada si pesakit itu dan di jampi pada air sebanyak 3 kali diberi minum, insya’Allah si pesakit akan sembuh.

Jikalau mendapat sebarang kesusahan yang amat berat, kesusahan kerana kezaliman orang-orang tamak, oleh peperangan yang ditimbulkan oleh musuh-musuh Negara, beramallah selalu dengan ayat ini selepas daripada sembahyang lima waktu, mudah-mudahan segala kesusahan mendapat perlindungan dari Allah Ta’ala.

Jikalau masuk berperang menentang musuh, tiada binasa oleh terbakar, jika di pukul dengan besi tiada lut dan tiada binasa dari sebarang benda yang bahaya, hendaklah beramal ayat ini dan bertawakkal kepada Allah, baca ayat ini sesudah sembahyang lima waktu, baca ketika hendak tidur tiga kali, baca ayat ini ketika hendak keluar rumah sekurang-kurangnya tiga kali.

-Apa yang dapat disampaikan,hendaklah kita amal dalam kehidupan kita sehari-harian,walaupun dalam susah dan senang,miskin dan kaya,sihat atau sakit, dan dalam apa jua keadaan.

-InsyaAllah, berkat amalan ini, Allah akan pilih yang terbaik untuk setiap hambaNya...

Amin....